Kelab Kriket Remaja Zalmi bakal mengadakan dua aksi persahabatan bertemu pasukan Kota Kinabalu A, Kelab Kriket Senior, serta Kelab Kriket Pedalaman Kota Kinabalu pada Isnin serta Ahad depan.

Presiden kelab berkenaan, Mudasir Fazir Karim, berkata antara tujuan perlawanan itu diadakan adalah bagi menguji kekuatan pasukan yang baru ditubuhkan itu.

"Kelab dan pasukan ini baru ditubuhkan tahun lalu. Selain bagi menguji kekuatan, kami berharap aksi persahabatan ini akan dapat memberi satu pengalaman berguna buat pemain kami yang kebanyakannya masih muda.

"Sukan kriket di Sabah mungkin tidak begitu popular tetapi permainan ini sebenarnya sangat menarik untuk dipelajari dan kami harap latihan selama ini akan diterjemahkan dengan baik oleh pemain di atas padang kelak," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Mudasir berkata dua aksi persahabatan itu akan berlangsung di gelanggang sama, iaitu di Padang Kompleks Sukan Likas, berhampiran Stadium Hoki dan beliau turut menjemput orang ramai untuk hadir menyaksikan perlawanan itu.

Perlawanan itu akan bermula dari jam 9 pagi hingga 4 petang.