Kelab Pacuan Empat Roda (4WD) Tenom muncul juara keseluruhan Cabaran Borneo Safari Antarabangsa edisi ke-26 yang berlangsung, baru-baru ini.

Kelab yang dibarisi Liew Fui Kong, 38, dan Agustinus Ara Kopong, 28, dinobat sebagai pemenang selepas menghabiskan 18 'check point' dalam acara 'Special Stage' (SS) mengatasi 15 pasukan lain.

Sementara itu, pasukan Track Official Group menerima anugerah Borneo Safari Team Spirit manakala seorang peserta, Reza Bakri, dipilih sebagai penerima anugerah Borneo Safari Jungle Man.

Lain-lain anugerah yang diberikan ialah untuk Ding Shu Bir (Borneo Safari Jungle Woman), Hitashi Urabe (Borneo Safari Environment), Pang Lin Kok (Borneo Safari Foul Up Of The Year), Isuzu MU-X Monster (Borneo Safari Vehicle Of The Year) dan Pasukan Kalimantan (Borneo Safari Furthest Overlander Of The Year).

Borneo Safari 2016 adalah ekspedisi pengembaraan lasak terbesar di Asia Tenggara dengan 914 peserta serta 347 kenderaan dari tujuh negara iaitu Malaysia, Brunei, Indonesia, Thailand, Jepun, Portugal dan China .

Pengembaraan sejauh 500 kilometer selama lapan hari tujuh malam itu merentasi daerah Tuaran, Ranau, Kota Belud, Kota Merudu dan Kota Kinabalu.

Terdahulu, majlis penyampaian hadiah yang berlangsung pada Ahad disempurnakan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, dengan turut dihadiri Pengerusi Penganjur Borneo Safari 2016 merangkap Presiden Sabah Four Wheel Drive Association (SFWDA), Faez Nordin; Pengarah Eksekutif Isuzu Malaysia Sdn Bhd, Hajime Machimura dan Pengurus Besar UMW Grannt International Sdn Bhd, Amri Hasim.