Kekurangan prasarana tidak pernah mematahkan semangat atlet-atlet Sabah untuk berjuang menyaingi kehebatan atlet negeri lain.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe, berkata beliau sedar dengan kekurangan prasarana sukan di negeri berkenaan, namun tetap berharap atlet-atlet Sabah akan terus tabah dan berjuang sepenuh tenaga untuk membawa pulang kejayaan.

"Banyak prasarana sukan yang kami kekurangan di Sabah ini, antaranya ialah gimnastik, angkat berat, boling dan juga renang.

"Namun, ia tidak mematahkan semangat kami untuk melahirkan atlet-atlet berjaya yang berkelas antarabangsa dan dunia.

"Saya percaya jika kami memiliki prasarana yang lebih sempurna setanding negeri-negeri lain, kami sudah tentu mampu melahirkan lebih ramai atlet cemerlang, seterusnya mengembalikan penguasaan kami dalam sukan yang mana dahulunya kami merupakan pasukan digeruni."

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyerahan bendera kepada kontinjen boling tenpin Sabah yang akan menyertai Kejohanan Kebangsaan dan Antara Negeri 2019 di Kota Kinabalu, hari ini.

Bendera Sabah disampaikan kepada ketua kontinjen, Rozzainny Sham Talip, dengan disaksikan Presiden Persatuan Boling Tenpin Negeri Sabah (PTBNS), Datuk Mohd Zain Said, serta Penolong Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah, Valerie Wong.

Kontinjen Sabah akan menyertai pertandingan untuk kategori senior dan remaja di Sunway Megalanes, Selangor, bermula 26 Julai hingga 4 Ogos ini.

Turut mengiringi pasukan negeri ke Selangor ialah pengurus pasukan senior, Ag. Mohd Sharil, pengurus pasukan remaja, Wan Redzuan, dan jurulatih, Mohd Hafiy Aslam.