Barisan pemain ragbi 15 sepasukan negara perlu terus memberikan tumpuan terhadap kekuatan fizikal dalam usaha membentuk pasukan yang mantap bagi menghadapi Kejohanan Premier Asia 2018.

Selepas tiga minggu menjalani program kekuatan serta pemantapan fizikal bersama Institut Sukan Negara (ISN), ia memberi manfaat yang cukup baik buat skuad negara.

Sebelum ini, terdapat dalam kalangan pemain yang tidak dapat menjalani latihan sepenuh masa kerana mempunyai pekerjaan tetap di samping pemain-pemain yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

Bagaimanapun, ketua jurulatih negara, Lee Nyuk Fah, menganggap pemain-pemain perlu mengharungi program ini hingga penghujung Disember.

Bermula tahun depan, mereka akan memberikan tumpuan kepada corak permainan selain strategi untuk menghadapi lawan.

"Selepas menjalani program ini, terdapat peningkatan dalam prestasi pemain-pemain negara. Ia amat diperlukan menjelang kejohanan antarabangsa apabila kekuatan fizikal memainkan peranan yang besar," kata Nyuk Fah.

Selepas mengharungi kem latihan fasa dua itu, skuad negara akan ke New Zealand untuk menjalani beberapa aksi persahabatan menentang kelab-kelab utama di sana pada Mac.

Namun, sebelum kunjungan itu, Nyuk Fah mahu mengadakan satu aksi persahabatan di Kuala Lumpur terlebih dahulu bagi menilai kemampuan pemain-pemain, khususnya muka baru dalam pasukan.

"Latihan taktikal dan permainan akan dilakukan sebelum kami menghadapi aksi persahabatan di Kuala Lumpur. Pada pertengahan Januari, saya menjangkakan lebih ramai pemain yang akan melapor diri bersama skuad kebangsaan," tambahnya.