Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Huang Ying How, menganggap kekalahan kepada Hong Kong dalam suku akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia (WWTC) kelmarin, adalah sesuatu yang boleh diterima kerana ketiadaan pemain utama negara.

SRAM tetap tenang walaupun Malaysia gagal ke separuh akhir buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun.

Malaysia yang dibarisi oleh Datuk Nicol Ann David, Delia Arnold dan pemain remaja, S. Sivasangari, tewas 1-2 di tangan Hong Kong dalam saingan di Paris, Perancis.

Begitupun, Ying How tetap positif kerana Malaysia beraksi tanpa kekuatan sebenar.

"Kami seharusnya mampu menewaskan Hong Kong tetapi mereka telah bermain dengan baik. Kekalahan ini tidak dilihat sebagai kejatuhan sukan skuasy Malaysia,” katanya.

Tiga hari sebelum kejohanan bermula, Wee Wern mengalami kecederaan berulang pada lutut kirinya dan doktor menasihatkan pemain kelahiran Pulau Pinang itu menarik diri.

Dalam pada itu, Ying How turut mengulas kedudukan Nicol yang kini jatuh ke ranking keenam dunia.

“Secara peribadi, permainan Nicol sudah sedikit berbeza dan rentaknya semakin kemas.”

"Jika kamu mendengar ulasan jurulatih di SRAM dan ISN (Institut Sukan Negara), mentalitinya lebih kuat dan permainannya sedang bertambah baik."

Nicol, yang menghuni ranking kelima dunia sebelum kejohanan bermula, jatuh satu anak tangga dan ia kedudukan terburuk Nicol sejak 2004.

Dalam aksi kelmarin, pemain No. 15 dunia, Delia, yang menggalas misi berat untuk mengutip mata sulung buat Malaysia gagal melaksanakan tanggungjawab itu apabila kecundang kepada Joey Chan, 11-8, 5-11, 11-9, 3-11, 6-11.

Bagaimanapun, perjuangan Malaysia kembali di landasan apabila Nicol menyamakan kedudukan 1-1 setelah tidak berdepan masalah menyingkirkan pemain No. 12 dunia, Annie Au, 11-7, 11-2, 11-4, dalam masa 25 minit.

Dalam aksi penentuan, Sivasangari gagal menjelmakan kemenangan apabila tewas kepada pemain lebih berpengalaman, Liu Tsz Ling, 9-11, 17-15, 11-13, 6-11, dalam tempoh 56 minit.

Sebagai rekod, Malaysia muncul naib juara selepas tewas kepada England 2-1 dalam final edisi lepas di Kanada pada 2014, iaitu pencapaian terbaik dalam sejarah kejohanan itu yang dimulakan pada 1979.