Kejuaraan di Madrid tetap terbuka – Nadal

Oleh Staff Writer 8 Mei 2018 183
Kejuaraan di Madrid tetap terbuka – Nadal
Dominasi yang ditampilkan Rafael Nadal di gelanggang tanah liat tentunya membuatkan pemain dari Sepanyol itu dilihat sebagai pilihan utama menjelang Terbuka Madrid tetapi dia tetap sedar masih ramai pencabar yang mampu mengatasinya.
 
Pemain nombor satu dunia itu memenangi dua kejohanan terakhir di gelanggang itu ketika saingan di Monte Carlo dan Barcelona, sekali gus dalam usaha untuk mencatat kemenangan ke-400 di permukaan tersebut.
 
Dia bakal memulakan kempen esok bagi mendapatkan kejuaraan keenam di ibu kota Sepanyol itu dan mempertahankan kedudukan dalam ranking ketika ini.
 
Nadal tidak tewas dalam 19 aksi terakhir di atas gelanggang tanah liat dan turut merakamkan kemenangan dalam 46 set terbaru tetapi dia tidak akan memandang mudah cabaran kali ini.
 
“Saya tidak berasa saya pemain terbaik di gelanggang tanah liat,” katanya.
 
“Mungkin dalam sesetengah kejohanan, saya tampil lebih baik berbanding pemain lain tetapi ia tidak menjanjikan sesebuah kemenangan buat saya di masa akan datang.
 
“Saya sangat gembira dengan keadaan yang berlaku dan tidak risau sama ada dinamakan selaku pilihan atau tidak. Apa yang saya tahu, saya hanya mahu menampilkan aksi terbaik dan jika dapat melakukannya, segala perkara akan menjadi baik,” tambah Nadal.
 
“Detik di mana saya tidak lagi risaukan keadaan serta permainan saya, mungkin itu adalah waktu saya tidak lagi berjaya.
 
“Saya hanya perlu sentiasa bersedia dan bersabar. Itu yang saya lakukan. Saya sering menghormati lawan kerana setiap hari ia datang berlainan. Anda hanya perlu ingat bahawa anda boleh menang dan kalah.”

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen