Kehadiran pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, menenggelamkan pesaing lain untuk mengungguli pusingan terakhir Kejohanan Superbike Malaysia 2017 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Hafizh Syahrin, yang mewakili pasukan KHM Times Bike Racing Team, menamatkan saingan di tempat pertama dengan catatan masa 26 minit 11.802 saat, meninggalkan Rajini Krishnan dari India di tempat kedua.

Rakan sepasukannya, Muhammad Farid Badrul Hisham, pula terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dengan masa 27:01.438s.

Jelas Hafizh, kehadirannya untuk menyertai perlumbaan di Litar Sepang dalam pusingan terakhir ini sekadar untuk terus konsisten dengan latihan memandangkan musim motor Grand Prix 2017 telah berakhir.

"Saya mengambil perlumbaan ini sebagai latihan selepas berakhir saingan MotoGP," kata Hafizh.

Farid, yang konsisten mengungguli perlumbaan sejak pusingan pertama, Mac lalu, terpaksa akur gagal mempertahankan kedudukan pada pusingan terakhir disebabkan masalah jentera yang dialaminya bermula di selekoh keenam yang memberi peluang kepada Hafizh untuk memotong.

Bagaimanapun, dia berpuas hati apabila mampu untuk menjuarai kejohanan kategori superbike ini secara keseluruhan buat kali pertama selepas mengumpul sebanyak 199 mata.

"Secara keseluruhan, kejayaan ini merupakan rezeki saya dalam kategori superbike," katanya.