Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) memberi jaminan bahawa penganjuran Kejohanan Kebangsaan di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, yang bermula esok akan berlangsung berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Ia susulan peningkatan mendadak kes semasa COVID-19 ketika edisi kali ini yang membabitkan hampir 200 peserta.

"Kami telah menerima (panduan) SOP daripada pihak kementerian dan akan diketengahkan dengan ketat.

"Pemain perlu diambil bacaan suhu mereka wajib memakai pelitup muka sepanjang masa di sini selain masuk beraksi di gelanggang.

"Mereka juga perlu guna cecair nyah-kuman dan mengamalkan penjarakan fizikal.

"Mereka perlu tunggu di luar dan datang tepat pada masanya agar gelanggang tidak terlalu sesak.

"Hanya jurulatih dan penjaga kepada pemain pelapis dibenarkan hadir selain barisan jurulatih dan pegawai akan memastikan semua SOP ini dipatuhi," katanya kepada wakil Nadi Arena, Ahmad Shahrazad Sani di Bukit Jalil, hari ini.

Edisi ke-26 itu merupakan aksi kompetitif pertama buat pemain kebangsaan sejak Mac lalu sejak krisis COVID-19.

Sementara itu, Kejohanan Perlumbaan Berbasikal Remaja Malaysia di Velodrom Nilai, Negeri Sembilan, membabitkan acara trek dan kriterium yang sepatutnya berlangsung esok ditangguhkan termasuk Kejohanan Renang Hari Sukan Negara minggu ini.