Pemenang pingat emas skuasy Sukan SEA 2017, Aifaa Azman, unggul dengan meraih kejuaraan Terbuka Remaja Kuala Lumpur manakala impian untuk melihat kejuaran berganda buat Malaysia tidak kesampaian apabila Siow Yee Xian tewas kepada lawan dalam final.

Aifaa yang diletakkan sebagai pilihan pertama berdepan rakan senegara, Lai Wen Li, yang pernah bersama-sama meraih pingat emas acara berpasukan wanita ketika Sukan SEA, Ogos lalu.

Aifaa mempamerkan aksi cemerlang ketika mengatasi Wen Li 11-3, 11-7,13-11.

Ia merupakan kejayaan yang cukup bermakna buat Aifaa selepas pulih daripada kecederaan buku lali dan destinasinya selepas ini adalah Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja British, 3 Januari depan.

“Sebelum Sukan SEA, saya mengalami kecederaan buku lali dan ini merupakan kejohanan pertama saya. Saya sangat gembira kerana meraih kemenangan ini,” kata Aifaa.

Dalam saingan lelaki pula, status sebagai pilihan kedua buat wakil negara, Siow Yee Xian, ternyata tidak dapat membantunya untuk mengatasi pemain New Zealand, Matthew Lucente.

Yee Xian tumpas11-6, 8-11, 6-11, 8-11.

Buat Yee Xian, dia tetap berpuas hati dengan penampilannya kali ini selepas hampir tiga bulan tidak beraksi kerana menumpukan perhatian kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya agak kecewa dengan keputusan ini kerana mampu memberikan yang lebih baik. Kepenatan beraksi dalam separuh akhir menjadi faktor kekalahan ini,” katanya.