Kejohanan Remaja Dunia: Aifa taruh hasrat WSF ubah pendirian 

Oleh Shaiful Shamsudin 7 April 2020 26
Kejohanan Remaja Dunia: Aifa taruh hasrat WSF ubah pendirian 
Jaguh skuasy remaja wanita negara, Aifa Azman, menaruh harapan agar Persekutuan Skuasy Dunia (WSF)mempertimbangkan semula pembatalan Kejohanan Remaja Dunia yang juga tahun terakhir penglibatannya.

Atlet berusia 18 tahun itu berazam memecahkan rekod kejuaraan ketujuh musuh tradisi, Mesir, dalam Kejohanan Remaja Dunia 2020. 

Aifa, yang bermula cemerlang tahun ini apabila meraih pingat perak dalam Kejohanan Remaja Terbuka British Januari lalu, mengakui kecewa tetapi terpaksa akur dengan keadaan wabak koronavirus baru (Covid-19) ketika ini. 

Buat masa ini, dia masih mengharapkan supaya kejohanan itu berlangsung menerusi anjuran negara lain selepas tuan rumah, Australia, enggan memainkan peranan jika keadaan kembali reda hujung tahun kelak.

"Saya belum pasti lagi bagaimana keadaan Covid-19 ketika itu.

"Bagaimanapun, saya mengharapkan kejohanan ini dapat dianjurkan tetapi ia bergantung kepada situasi pada masa akan datang. 

"Kalau ia semakin buruk, lebih baik tidak beraksi tetapi oleh kerana ini merupakan tahun terakhir saya di peringkat remaja, saya masih berharap ia dapat diadakan," katanya melalui FaceTime kepada wartawan Nadi Arena, Norhaliza Hamzah, hari ini.

Dalam pada itu, pemain termuda negara yang memenangi Jelajah PSA berkenaan turut melahirkan perasaan rindu untuk berada di gelanggang bersama rakan sepasukan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan mereka hanya menjalani latihan di kediaman masing-masing. 

"Saya rindukan skuasy sebab sudah lama tidak bermain.

"Buat masa ini saya kekalkan kecergasan dengan melakukan senaman tetapi adalah sukar kerana tidak sama dengan corak latihan skuasy tetapi saya tetap teruskan program yang diberikan."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen