Jurulatih skuad ragbi 15 sepasukan negara, Lee Nyuk Fah, mengakui kekuatan mental pemain perlu berada pada tahap terbaik apabila beraksi dalam Divisyen Perdana, Kejohanan Ragbi Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil bermula 28 April depan.

Dalam saingan perdana, Malaysia bakal menghadapi tentangan sengit daripada Korea Selatan dan Hong Kong.

Nyuk Fah berkata dua pasukan itu dibarisi pemain profesional serta lebih sukar berbanding pasukan divisyen satu yang dimenangi skuad negara tahun ini.

Kerana itu, itu pemain negara kini melalui beberapa fasa persiapan dengan kekuatan mental dan fizikal adalah antara yang ditekankan dalam latihan fasa pertama.

"Kami mahu menumpu kepada kekuatan mental dalam latihan kerana ia memainkan peranan penting dalam perlawanan.

"Kami perlu menerapkan perasaan bangga apabila mewakili negara dan kami akan lawan habis-habisan. Kami juga perlu menanamkan semangat berpasukan," katanya.

Dalam pada itu, kapten skuad negara, Mohammed Syahir Asyraf Rosli, mengakui beraksi di Bukit Jalil untuk saingan Divisyen Perdana akan menyuntik semangat pemain.

Malaysia akan berdepan Korea Selatan (28 April) dan Hong Kong (5 Mei) di laman sendiri, sebelum aksi timbal balik di Korea Selatan dan Hong Kong masing-masing pada 19 dan 26 Mei nanti.

"Satu penghormatan untuk pasukan ragbi 15s Malaysia kerana dapat bermain dalam kejohanan berprestij di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

"Saya pasti 100 peratus semua pemain tidak sabar untuk bermain dalam stadium itu dan saya percaya mereka akan mempersiapkan diri untuk menentang Hong Kong nanti," ujarnya.