Kejohanan Ragbi Asia B-19: Skuad negara sasar gelaran juara

Oleh Staff Writer 29 November 2016 6
Kejohanan Ragbi Asia B-19: Skuad negara sasar gelaran juara
Malaysia menyasarkan gelaran juara dalam Kejohanan Ragbi Asia B-19 bagi memastikan kelayakan automatik ke Kejohanan Ragbi Dunia B-20, tahun hadapan.

Walaupun membuat penampilan pertama dalam divisyen utama, ia bukan halangan untuk skuad negara menetapkan sasaran yang tinggi dalam kejohanan itu di Padang Ragbi Universiti Putra Malaysia, Serdang, 11-17 Disember ini. 

Tegas Presiden Kelab Cobra, Leftenan Kolonel (Bersara) Tommy Pereira, sasaran itu perlu ditepati bersandarkan kepada persediaan penuh yang telah dilakukan sejak bulan lalu, selain beraksi selaku pasukan tuan rumah.

Kejayaan pasukan senior sebelum ini juga perlu dijadikan sebagai pemangkin untuk mereka tampil lebih berkesan dan bersedia dengan cabaran yang bakal diberikan jaguh Asia seperti Hong Kong, Sri Lanka dan Taiwan.

Bagi Naib Presiden, Kesatuan Rabgi Malaysia (KRM), Raimi Mohd Yusof, beberapa keputusan dalam aksi persahabatan terkini menunjukan dominasi penuh oleh pemain negara.

Dia juga yakin harapan untuk melihat penyertaan Malaysia dalam Kejohanan Trofi Dunia B-20 pada tahun hadapan mampu direalisasikan.

"Saya pasti jurulatih-jurulatih skuad bawah 19 tahun ini mempunyai strategi dan rancangan untuk mengatasi pasukan-pasukan yang lebih besar," katanya.

Kejohanan Ragbi Dunia B-20 berlangsung di Georgia, 31 Mei-18 Jun 2017. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen