Pemain kebangsaan, Leong Chee Feng, menyapu bersih empat kejuaraan dalam Kejohanan Ping Pong Malaysia Ke-54 selepas mengesahkan gelaran perseorangan lelaki dengan menundukkan juara bertahan, Ashraf Haiqal Rizal, di Dewan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), petang tadi.

Chee Feng yang mewakili Selangor sebelum ini pernah ditewaskan oleh Ashraf dalam dua edisi lalu, akhirnya mengecapi gelaran juara perseorangan lelaki buat kali pertama.

Dia yang dihambat Asyraf ketika kedudukan terikat 3-3 selepas set keenam, berjaya menamatkan cabaran rakan senegaranya itu dengan kemenangan 11-9 dalam set penentuan.

Tambah manis, Chee Feng juga mencipta sejarah buat dirinya apabila membolot semua kategori yang dipertandingkan, termasuk beregu lelaki, beregu campuran dan berpasukan lelaki.

"Saya sangat gembira dengan kejayaan ini kerana dalam tiga rekod pertemuan kami, dua kali saya dikalahkannya.

"Saya beraksi dengan tenang dengan tidak meletakkan terlalu banyak tekanan kepada diri sendiri," kata Chee Feng.

Sementara itu, Alice Chang Li Sian dari Sarawak mendapat hadiah paling bermakna untuk perayaan Krismas tidak lama lagi apabila mengulangi pencapaian 2015.

Pemain berusia 17 tahun itu menewaskan Tee Ai Xin melalui kemenangan 4-2 untuk diangkat sebagai juara.

"Ketenangan membantu saya. Ketika lawan mendahului, saya mengelak untuk memikirkan kedudukan dalam set berkenaan dan mula bangkit.

"Saya bertekad untuk muncul juara," ujar Alice.