Kejohanan Ping Pong Kebangsaan 2017 harus diambil serius oleh skuad negara kerana ia akan menjadi medan penilaian terakhir oleh ketua jurulatih, Beh Lee Wei, untuk menentukan enam pemain ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018.

Kejohanan yang bakal berlangsung dari 20 hingga 23 Disember itu turut menjadi saingan terakhir skuad negara tahun ini.

Justeru, Lee Wei harus menentukan tiga pemain lelaki dan tiga pemain wanita untuk dua temasya utama itu sebelum Januari bagi memudahkan mereka menjalani program khas.

Sesiapa sahaja boleh memenuhi slot itu berdasarkan prestasi semasa dan juga tahap disiplin mereka.

"Saya dan TTAM (Persatuan Ping Pong Malaysia) akan memutuskannya dengan mengambil kira prestasi semasa selain komitmen dalam latihan dan rekod kecederaan," ujar Lee Wei.

Mengenai sasaran dalam dua temasya berkenaan, Lee Wei sedar kesukaran anak buahnya untuk memenangi pingat, apatah lagi dengan persaraan pemain senior seperti Shakirin Ibrahim dan Ng Sock Khim, namun mengharapkan mereka mampu melepasi cabaran ke suku akhir. .

"Kami menyasarkan untuk ke suku akhir kerana Malaysia akan menurunkan barisan muda. Saya harap pemain boleh melakukan sesuatu untuk meraih pingat dan menghargai peluang yang diberikan," tambahnya.