Kejohanan Pencak Silat Dunia 2016: PESAKA buat bantahan terhadap isu Zarish

Oleh Staff Writer 8 Disember 2016 91
Kejohanan Pencak Silat Dunia 2016: PESAKA buat bantahan terhadap isu Zarish
Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin, membuat bantahan kepada pegawai perubatan Indonesia di atas insiden yang berlaku terhadap pesilat negara, Muhammad Zarish Hakim, dalam Kejohanan Pencak Silat Dunia 2016.

"Ia di luar daripada peradaban dan budaya sebagai seorang pengamal ilmu seni mempertahankan diri silat. 

"PESAKA telah menyatakan bantahan dan kami juga tidak akan teragak-agak untuk menarik diri jika mereka tidak melakukan pemohonan maaf secara rasmi. Tetapi mereka telah memaklumkan bahawa mereka bakal membuat pemohonan maaf," jelasnya..

Megat Zulkarnain berkata insiden berkenaan melibatkan nyawa pesilat berusia 19 tahun itu dan tidak sepatutnya dilayan sebegitu oleh pegawai perubatan semata-mata kerana ingin memberikan kemenangan percuma kepada Indonesia.

Beliau berasa marah dan tidak puas hati, ditambah lagi dengan keputusan doktor yang mengatakan Zarish masih mampu meneruskan perlawanan walhal sudah jelas dia langsung tidak sedarkan diri.

Megat Zulkarnain turut memberikan peringatan bahawa Sukan SEA 2017 bakal berlangsung di Kuala Lumpur dan sudah pasti pihak Indonesia tidak mahu situasi yang sama terjadi kepada mereka pula. 

"Apa perasaan mereka jika kami melakukan perkara yang sama di Sukan SEA nanti? Pesilat yang sama kami mengenakan dia semula dengan melakukan perkara yang sama, tetapi kami tidak akan melakukan perkara tersebut.

"Pesilat itu tidak melakukan kesalahan, sebaliknya mereka yang mempengaruhi keputusan doktor untuk menyatakan bahawa pesilat negara tidak pengsan.

Kekesalan itu dilontarkannya sejurus tiba di venue kejohanan, semalam.

Terdahulu, Zarish tidak sedarkan diri sewaktu aksi suku akhir Kelas D Putera selepas ditendang di rahang oleh pencabar tuan rumah, Hanifan Yudaini, pada Selasa.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen