Dua pesilat negara, Muhammad Al Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohd Nasir, mengharumkan nama negara setelah berjaya merealisasikan misi meraih kejuaraan hatrik di pentas Kejohanan Pencak Silat Dunia 2016, hari ini.

Dalam aksi di Gelanggang Olahraga Lila Bhuana, Bali, Al Jufferi menggenggam gelaran Kelas E Putra dengan menumbangkan pesilat dari Thailand, Koibrohem Kubaha, 5-0.

Lebih manis lagi, kemenangan itu melengkapkan pencapaian hatriknya selepas unggul pada edisi 2012 dan 2015.

"Syukur kepada Allah kerana mempermudahkan urusan saya di dalam gelanggang dan menjauhi saya daripada ditimpa kecederaan yang teruk.

"Berbanding aksi final pada hari ini, pertarungan semalam ketika saya berdepan pencabar dari Indonesia, Komang Harik Ai Putra, adalah lebih sukar kerana dia merupakan peserta tuan rumah dan mendapat sokongan padu penyokong sendiri.

"Situasi itu memaksa saya untuk bekerja lebih keras dan akhirnya Alhamdulillah, saya meraih kemenangan," ujarnya.

Dalam Kelas E Putri, Siti Rahmah menunaikan janjinya untuk merekodkan hatrik apabila mengalahkan pesilat Vietnam, Nguyen Thi Yen, dengan kemenangan 5-0.

"Memang dari awal pertarungan lagi, saya memasang niat untuk mencurahkan segalanya tanpa mengira apa yang terjadi.

"Dengan ini, tertunailah hajat saya kerana saya sudah merancang bahawa ini adalah penyertaan saya yang terakhir," kata atlet Program Podium itu.