Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio, Muhammad Ziyad Zolkefli, mengakui kehadiran isteri membangkitkan semangat baru untuk memburu lebih banyak kejayaan, terutama dalam misi melayakkan diri beraksi di pentas Sukan SEA 2017.

Rekod dunia dalam acara lontar peluru F20 yang dicipta di Rio, iaitu 16.84 meter, masih belum cukup untuknya layak secara merit dan perlu melakukan lontaran sekurang-kurangnya 17.05 meter.

"Saya mempunyai keluarga dan tanggungjawab. Jadi, saya menganggap sukan ini tempat saya mencari rezeki dan saya akan melakukan yang terbaik untuk maju dalam sukan saya ini," katanya.

Ziyad, bagaimanapun, terlebih dahulu perlu fokus mempersiapkan diri untuk menghadapi Kejohanan Olahraga Paralimpik Dunia, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) di London, Julai depan.

Ia adalah penyertaan utama Ziyad tahun depan, dalam misi mengulangi kejayaan meraih pingat emas dalam kejohanan itu pada 2013.

"Sasaran utama saya adalah untuk meraih gelaran juara Kejohanan Dunia. Dalam masa yang sama, saya akan berusaha melayakkan diri untuk beraksi dalam Sukan SEA," tambahnya.

Pencapaian terbaik Ziyad

• Emas Sukan Paralimpik Rio 2016 (Rekod dunia: 16.84m)
• Emas Kejohanan Olahraga Asia-Oceania 2016
• Gangsa Kejohanan Dunia 2015
• Emas Sukan Para Asia 2014
• Emas Kejohanan Dunia 2013