Kejohanan MAKSAK: Hup Wei ketepi sasaran Sukan Olimpik

Oleh Penulis Jemputan 19 Disember 2019 244
 Kejohanan MAKSAK: Hup Wei ketepi sasaran Sukan Olimpik
Jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, menangguhkan hasratnya untuk melepasi had kelayakan 2.33 meter ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjelang Kejohanan Olahraga Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) di Trek Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil bermula esok. 

Pemenang pingat emas Sukan SEA Filipina itu tidak bercadang memberikan aksi terbaiknya ekoran kepenatan.

Begitupun, paras ketinggian 2.20m tetap menjadi keutamaannya. 

"Saya perlu mengekalkan ketinggian itu untuk setidak-tidaknya memastikan dapat melepasinya lagi. 

"Fizikal dan mental saya kelesuan, jadi bagi saya kejohanan ini sekadar latihan," katanya di Bukit Jalil hari ini. 

Lantaran itu, Hup Wei mempunyai perancangan untuk lebih bersedia bagi menghadapi kejohanan tahun depan sebagai batu loncatannya ke temasya Tokyo 2020. 

"Kami akan memulakan musim 2020 dengan menyertai Kejohanan Dalam Dewan Asia di China, Februari depan, dan bulan seterusnya, Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Dunia (juga di China) sebelum menyertai kejohanan terbuka sehingga Sukan Olimpik. 

"Jadi, saya harap dapat layak ke Sukan Olimpik secara merit."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen