Selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam perlawanan persahabatan menentang kelab dari Pakistan, skuad kriket bawah 19 tahun negara kini bersedia untuk mengharungi Kejohanan Piala Asia 2016 di Sri Lanka, 15 Disember ini.

Corak permainan menarik yang ditunjukkan barisan pemain memberi kelegaan buat jurulatih, Suresh Navaratnam, namun dia tetap mengingatkan anak buahnya akan tahap kesukaran menanti mereka di pentas Piala Asia.

"Ini merupakan perlawanan yang kedua untuk kami, di mana sebelum ke Sri Lanka kami akan beraksi dalam empat perlawanan.

"Dalam perlawanan kedua semalam, kami berjaya mencatat kemenangan besar dan saya berasa pemain yang telah berlatih selama dua minggu telah menunjukkan kemahiran mereka. Kami kini berada di landasan yang tepat," katanya.

Enam pemain yang sebelum ini terikat dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga telah pun mula kembali ke kem latihan sebelum mereka terbang ke Sri Lanka minggu hadapan.

"Beberapa pemain telah menyertai kem. Jadi, ia sesuatu yang cukup bagus untuk kami. Terdapat peningkatan daripada kem yang lepas dengan kem baru-baru ini. Kami mendapat pemain baru yang menyertai kem selepas peperiksaan."