Persatuan Karate Sabah (SKA) cawangan Penampang meraih gelaran kali keempat berturut-turut apabila muncul juara Kejohanan Karate Sekolah Rendah Sabah 2016 yang berakhir di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, hari ini.

Pelatih SKA Penampang membuktikan kehebatan mereka apabila membolot 13 emas, lapan perak, dan 14 gangsa, sekali gus menjuarai kejohanan edisi ke-19 itu.

Mereka juga meninggalkan jauh pencabar terdekat, SKA Tawau, yang sekadar berpuas hati di tempat kedua dengan kutipan empat pingat emas, empat perak serta sembilan gangsa.

Sementara itu, Kelab Karate Kompleks Sukan Keningau pula mendapat tempat ketiga keseluruhan dengan kutipan tiga emas, satu perak dan tujuh gangsa.

Jurulatih SKA Penampang, Sensei Gracey Tiwon, ketika ditemui berkata beliau sangat gembira dengan kejuaraan itu dan mengucapkan terima kasih kepada semua atlet, jurulatih dan ibu bapa yang banyak memberi kerjasama serta bantuan selama ini.

"Pasukan ini dibarisi 59 pelatih, termasuk pelatih semuda enam tahun.

"Ada antara mereka yang diberi peluang menyertai kejohanan ini untuk menimba pengalaman kerana mereka adalah harapan kita pada masa hadapan," katanya.

Terdahulu, setiausaha agung SKA merangkap ketua jurulatih negeri, Sensei Julian Chin, berkata banyak peningkatan dari aspek kualiti kebolehan dan kemahiran telah ditunjukkan dalam kejohanan kali ini.

"Dari jumlah lebih 400 peserta yang mewakili 24 pasukan yang bertanding, kita mengenal pasti ramai antara mereka yang berpotensi dan boleh digilap menjadi pelatih negeri pada masa akan datang," katanya.