Jurulatih karate, Andre Vasiljevs, mencabar atlet remaja negara mempamerkan kecemerlangan dalam Kejohanan Karate Remaja Asia di Makassar, Indonesia, jika berhasrat mahu disenaraikan dalam Sukan SEA 2017.

Kontinjen negara akan menghantar tujuh atlet kumite ke Makassar untuk menyertai dua kategori, iaitu bawah 21 tahun dan remaja.

Menurut Vasiljevs, Kejohanan Asia kali ini bakal menjadi penanda aras awal untuk mengukur tahap kematangan atlet remaja negara di pentas antarabangsa.

Tambahnya, dia tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa atlet kumite negara yang berpotensi mampu beraksi dalam Sukan SEA 2017.

"Kami mahu menilai mereka di peringkat benua (Kejohanan Karate Remaja Asia). Jika mereka berjaya meyakinkan kami, mereka berpeluang menyertai saingan Liga Perdana di Eropah," ujar jurulatih dari Latvia itu.

Harapan negara disandarkan kepada atlet kumite bawah 55kg wanita, P. Madhuri, yang bertanding bagi kategori bawah 21 tahun.

Jelas Vasiljevs, Madhuri menunjukkan perkembangan menggalakkan dalam beberapa kejohanan yang disertai meskipun dia baru berusia 17 tahun.

"Dia masih muda dan mencuri perhatian semasa beraksi di peringkat negeri. Kini dia sudah diserapkan dalam kem kebangsaan.

"Dia menunjukkan perkembangan selepas beberapa bulan berlatih bersama kami dan saya mengharapkan dia meneruskannya."