Skuad bola keranjang wanita Scotland meraih kemenangan tipis 72-71 ke atas wakil Taiwan, Nan Shan, dalam saingan ketiga Kejohanan Jemputan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) yang berlangsung di Stadium MABA, sebentar tadi.

Nan Shan yang diketuai Zu Yin Pan yang mempamerkan corak permainan pantas hampir meragut kemenangan Scotland dalam suku keempat hinggakan lawan itu cemas menantikan tiupan wisel penamat.

Hakikatnya, Nan Shan sudah mula mempamerkan sentuhan berbisa seawal suku pertama dengan mendahului perlawanan 18-12 tetapi Scotland bangkit mengutip mata dalam suku kedua dan ketiga.

Hanya satu mata yang membezakan kedua-dua pasukan menuju suku keempat hingga mencetus aksi penuh mendebarkan.

Selepas pendahuluan saling bertukar tangan, akhirnya Scotland meraih kemenangan tipis 72-71.

Keputusan lain:

China Shanghai 77 Taiwan Fo Guang 76

Bola Keranjang Lelaki:

National Taiwan Normal University 71 Australia ACBA Dragons 83