Peluncur ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah, mencipta rekod Asia dalam acara tricks, sekali gus menempatkan diri dalam kelompok 12 terbaik dalam final Kejohanan Ski Air Dunia IWWF di Pusat Sukan Air Putrajaya hari ini.

Peluncur berusia 16 tahun itu memperagakan aksi menarik dengan melakukan empat flip dalam salah satu daripada percubaan pusingan awal acara tricks untuk mengumpul 7,320 mata.

Pencapaian tersebut turut memadamkan rekod Asia, iaitu 7,250 mata.

"Ini adalah kali ketiga saya meraih pungutan melebihi 7,000 mata.

"Saya sudah biasa dengan keadaan berangin di tempat latihan saya.

"Saya menyesuaikan diri dengan keadaan air bergelora dan berangin.

"Layak ke pusingan akhir adalah amat istimewa bagi diri saya... lebih-lebih lagi di negara sendiri.

"Saya berasa gembira untuk melakukannya di laman sendiri dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan,” katanya.

Mengenai persediaan menghadapi pusingan akhir Ahad ini, Aaliyah, yang menduduki tangga kesembilan dalam acara kegemarannya itu, berkata dia tidak mahu melakukan sebarang kesilapan dalam acara tricks dan akan mencuba untuk menampilkan aksi terbaik.

Antara jaguh dunia yang berentap dalam final ialah Neilly Ross dari Kanada, Anna Gay dari Amerika Syarikat dan peserta Australia, Jacinta Caroll.

-- BERNAMA