Juara 12 kali, Thailand, terpaksa bangkit daripada ketinggalan dua gol dan memerlukan masa tambahan untuk menewaskan Malaysia, 4-3, dalam aksi sengit final Kejohanan Futsal AFF 2017 yang berlangsung di Ho Chi Minh, Vietnam, sebentar tadi.

Malaysia berjaya mendahului jaguh serantau itu seawal minit ke-5 menerusi Mohamad Awaludin Nawi yang berjaya memperdayakan penjaga gol Thailand.

Tidak cukup dengan itu, anak buah Chiew Chun Yong yang terus menghukum kealpaan pertahanan pasukan di ranking ke-17 terbaik itu menerusi gol kedua, kali ini giliran Ridzuan Bakri, dua minit kemudian.

Bagaimanapun, Thailand berjaya merapatkan jurang menerusi gol Tanachot Sosawaeng pada minit ke-12.

Belum pun sempat anak buah Jose Maria Mendez menyusun strategi pada babak kedua, Malaysia meledak gol ketiga menerusi Awaluddin Hasan. Namun, Thailand kembali merapatkan jurang melalui Mohamad Osaman Musa, tujuh minit selepas babak kedua bersambung.

Pada minit ke-31, Thailand mengikat kedudukan 3-3 menerusi sentuhan Jetsada Chudech untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Ronnachai Jungwongsuk meletakkan Thailand di depan pada minit ke-44 selepas memerangkap Malaysia yang dalam situasi menyerang, sekaligus meletakkan Malaysia dalam tekanan.

Walaupun berusaha sehingga minit terakhir permainan, skuad futsal negara terpaksa akur memberi laluan kepada Thailand untuk menjulang geralan ke-13.