Jurulatih futsal negara, Chiew Chun Yong, mengesahkan Kejohanan Futsal AFF 2016 di Bangkok dibatalkan dan kejohanan itu bakal diubah ke Yogyakarta susulan kemangkatan Raja Bhumibol Adulyadej.

Thailand sedang melalui tempoh berkabung selepas kemangkatan Raja Thailand pada Khamis lalu dan segala aktiviti di sana dihadkan.

Tidak terkecuali terkesan dengan perkembangan itu, Kejohanan Futsal AFF yang sepatutnya belangsung di Bangkok untuk tahun kedua berturut-turut dari 31 Oktober hingga 6 November ini.

Memaksa Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) mencari venue baru, Indonesia dilaporkan sudah menyatakan kesediaan mereka untuk menjadi penganjur bagi edisi ke-13 itu.

"Indonesia telah menyatakan minat untuk mengambil alih selaku tuan rumah. Jadi, kemungkinan besar perlawanan tidak akan berlangsung di Jakarta, sebaliknya di Yogyakarta.

"Saya percaya, tarikh kejohanan juga mungkin dianjakkan. Mungkin akan bermula dari 9 hingga 17 November. Itu merupakan informasi terkini yang kami terima, tetapi kami masih lagi belum mendapat sebarang pengesahan mengenai maklumat tersebut daripada AFF. Jadi kami masih lagi menunggu," jelas Chung Yong.

Menyedari kejohanan bakal berlangsung di Indonesia, pemain-pemain negara mengakui perlu lebih bersedia fizikal dan mental untuk berdepan penyokong fanatik di negara itu.

"Kami sedar peminat Indonesia pastinya akan turun memberikan sokongan. Jadi, kami perlu membuat persediaan dari segi mental dan fizikal mulai sekarang untuk berdepan dengan penyokong-penyokong Indonesia," kata pemain pasukan negara, Saiful Nizam.

"Ramai mengetahui Indonesia dan Malaysia merupakan seteru utama. Persediaan mental amat penting untuk berdepan dengan penyokong Indonesia," kata seorang lagi pemain, Syed Aizad Daniel, mengulas perkara sama.

Thailand menjadi pasukan paling berjaya dalam kejohanan itu dengan merangkul 11 kejuaraan, termasuk edisi tahun lalu, yang turut diadakan negara itu.