Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) memutuskan Azroy Hazal Wafi Ahmad Izhar menjadi wakil tunggal negara untuk menghadapi Kejohanan Dunia 2017 di California, Amerika Syarikat (AS), hujung bulan ini selepas tiada atlet lagi mampu menggantikan Hafifi Mansor yang digantung ekoran positif doping.

Wafi perlu menerima hakikat dia akan berjuang sendirian dalam Kejohanan Dunia, bermula 28 November ini.

Dia merupakan pemenang pingat emas Kejohanan Komanwel dan Terbuka Australia.

PABM mendapati jurang di antara atlet lain dan Hafifi dalam kategori 69 kilogram begitu jauh sekali, lalu memutuskan tidak perlu mencari pengganti dengan senarai baru atlet Program Podium akan diumumkan 10 November ini.

"Ada rasa sedikit terkilan kerana saya sangka ada rakan-rakan lain akan turut serta. Tetapi, Program Podium hantar saya seorang dan ia bukan masalah buat saya.

"Saya akan memberikan yang terbaik dalam Kejohanan Dunia nanti," katanya.

Atlet dari Rompin, Pahang, itu menjadi harapan terbaik untuk merangkul emas Sukan Komanwel Gold Coast, Australia, tahun depan selepas Hafifi digantung berikutan positif oxymetholone.

Pemenang emas Sukan Komanwel 2014 itu dijadual berangkat ke Sydney, Australia, Isnin depan untuk menjalani ujian sampel B.

"Saya harap sampel B dia tiada masalah sebab saya banyak belajar daripadanya.

"Dia banyak memberi tunjuk ajar kepada saya dalam soal latihan dan pemakanan," ujarnya.