Selepas dua hari Kejohanan Renang Dunia FINA berlangsung di Gwangju, Korea Selatan, masih tidak kelihatan kelibat perenang negara mara ke peringkat seterusnya dalam kejohanan berprestij itu.

Perenang negara seperti Tern Jian Han, Welson Sim dan Phee Jinq En gagal menyerlah dalam aksi masing-masing di Nambu International Aquatics Centre hari ini.

Jaguh renang negara, Welson, mencatatkan 1 minit 48.61 saat untuk berada di kedudukan kelapan dalam saringan kelima yang mana dia menempatkan diri di tangga ke-29 daripada 65 perenang keseluruhan dalam cara 200 meter (m) gaya bebas lelaki.

Seorang lagi wakil negara, Jian Han, yang bertanding dalam acara 100m kuak lentang lelaki, berada di kedudukan kelapan dalam saingan ketiga dengan catatan masa 57.34s untuk berada di ranking ke-48 keseluruhan.

Dalam acara 100m kuak dada wanita, Jinq En pula berakhir di kedudukan ke-27 keseluruhan walaupun muncul sebagai perenang kedua terlaju dengan merekodkan masa 1:09.05s dalam saingan ketiga.

Hanya 18 perenang terbaik keseluruhan layak ke pusingan separuh akhir setiap acara berkenaan.

-- BERNAMA