Kejohanan Dunia: Sharmendran ketuai cabaran skuad kumite

Oleh Penulis Jemputan 1 November 2018 49
Kejohanan Dunia: Sharmendran ketuai cabaran skuad kumite
Atlet karate-do negara, R. Sharmendran, dipilih mengetuai cabaran skuad kumite menyertai Kejohanan Dunia di Madrid, Sepanyol, walaupun masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut.

Skuad negara akan berlepas ke Madrid, Sabtu ini.

Sharmendran masih menerima rawatan kecederaan lutut di Institut Sukan Negara (ISN).

Namun, pemenang pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu tetap meyakinkan Persekutuan Karate-do Malaysia (Makaf) untuk mencabar Kejohanan Dunia.

Dia akan mengetuai skuad kumite yang turut dibarisi Prem Kumar dan Syakilla Salni Jefry Krishnan.

"Seperti yang kita tahu, ia adalah sukan tempur.

"Kalau tiada kecederaan ia bukanlah sukan karate.

"Kecederaan itu sesuatu yang normal dan ia bergantung kepada tahap kecederaan itu sendiri.

"Dalam kes saya, kecederaan itu tidak menghalang saya daripada bersaing.

"Kesakitan hanya melibatkan beberapa pergerakan," kata Sharmendran.

Pemilihan Prem Kumar juga mengejutkan.

Dia baru menjalani pembedahan patah tulang kaki kanan, dua minggu lalu, namun telah menunjukkan proses pemulihan dengan cepat.

Kumar akan membuat penampilan keduanya  dalam Kejohanan Dunia selepas muncul satu-satunya penyumbang pingat skuad karate-do negara dalam Sukan Asia Indonesia.

"Saya mahu berterima kasih kepada Makaf dan barisan kejurulatihan.

"Saya berjanji akan memberikan aksi terbaik dalam Kejohanan Dunia.

"Ini adalah penampilan kedua saya dalam kejohanan itu.

"Saya harap saya akan dapat keputusan yang baik nanti," kata Kumar.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen