Atlet memanah negara, Haziq Kamaruddin, mahu menjadikan persembahan dalam Kejohanan Dunia sebagai peluang untuk memperbaiki kekurangan menjelang baki satu lagi pertandingan bagi menutup tirai 2017.

Kejohanan Dunia yang berlangsung di Mexico City minggu lalu menyaksikan trio recurve negara yang diwakili Haziq, Khairul Anuar Mohamad dan Muhammad Akmal Nor Hasrin terkandas dalam suku akhir selepas tewas 1-5 di tangan pilihan utama, Korea Selatan.

Bagi saingan individu, hanya Khairul berjaya menjejakkan kaki ke pusingan ketiga sebelum dikecewakan pemanah Taiwan, Wei Chun Heng, tatkala kemaraan Haziq dan Akmal masing-masing tersekat dalam pusingan kedua.

"Pungutan mata tidak begitu jauh, jadi kami masih boleh mengejar kerana mata sudah tidak begitu jauh. Apa yang perlu kami lakukan adalah meningkatkan jumlah mata serta keyakinan dan teknik," kata Haziq.

Barisan pemanah negara bakal menghadapi Kejohanan Asia di Dhaka, Bangladesh bermula 24 November ini dan Haziq, yang memulakan latihannya hari ini, mengakui masih belum ada sebarang program latihan khusus yang ditetapkan oleh jurulatih.

Namun, dia tetap mahu memastikan dirinya dalam keadaan terbaik kerana pertandingan itu dapat memberi bayangan awal terhadap kemampuan pencabar rantau Asia lain menjelang temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia.

"Minggu pertama, saya rasa kami lebih banyak fokus kepada teknik dan kekuatan supaya kami boleh mengawal keadaan," tambahnya.