Kejohanan Dunia: Kekecewaan Weng Son terubat 

Oleh Penulis Jemputan 5 Oktober 2017 192
Kejohanan Dunia: Kekecewaan Weng Son terubat 
Kejayaan meraih pingat emas dalam Kejohanan Dunia menebus kehampaan atlet wushu negara, Wong Weng Son, dalam pembabitan keduanya dalam saingan peringkat tertinggi itu. 

Dua tahun lalu di Jakarta, Wen Son meraih gangsa kategori jianshu, dengan acara itu dimenangi seorang lagi wakil negara, Loh Jack Chang. 

Sementara itu, dalam temasya KL2017, dia meraih perak apabila diatasi Yeap Wai Kin. 

Lantas, saingan di Kazan, Russia, menjadi medan buat Weng Son untuk membuktikan bahawa dia juga merupakan antara taruhan utama negara. 

Untuk rekod, Weng Son juga pernah memenangi emas dalam saingan Piala Dunia dan Kejohanan Asia di Taiwan, tahun lalu. 

"Kami berdepan pencabar handalan dari China. 

"Semasa bertanding, saya tak mengharapkan emas, cuma saya menyasarkan perak atau gangsa selain memberikan persembahan dengan sedaya-upaya," katanya. 

Satu lagi emas disumbangkan trio wanita yang ditunjangi Phoon Eyin, Loh Ying Ting dan Tan Cheong Min dalam acara duilian -- pingat pertama buat negara dalam saingan berpasukan. 

"Kami sangat gembira memenangi emas dalam acara ini. Ia bukan sasaran kami, namun kami cuba menghasilkan persembahan terbaik," ujar Eyin. 

Biarpun tidak dapat mengatasi pencapaian dua tahun lalu -- tiga emas, empat perak dan empat gangsa -- ia dianggap prestasi yang baik memandangkan beberapa atlet negara baru sahaja terbabit dengan Sukan SEA, Ogos lalu. 

Secara keseluruhan, Malaysia meraih dua emas, tiga perak dan tiga gangsa dalam penyertaan kali ini. 

"Saya agak gembira dengan prestasi pasukan negara kerana walaupun ada atlet yang melakukan sedikit kesilapan, namun saya tetap yakin mereka mampu menunjukkan peningkatan.

"Korea Selatan dan Indonesia memiliki atlet yang mantap. 

"Pasukan kita kali ini mempunyai juara dunia buat pertama kali seperti Loh Yin Ting, Audrey Chan dan Tan Cheong Ming, jadi kami meraih lebih banyak pengalaman kali ini," kata jurulatih negara, Lim Yew Fai.

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen