Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tetap percaya trio olahraga para negara, Ridzuan Puzi, Abdul Latif Romly dan Ziyad Zolkfeli, akan menjadi prospek pingat emas dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Ia di sebalik ketiga-tiganya gagal mempertahankan kejuaraan dalam Kejohanan Olahraga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Dalam saingan di Dubai itu, Ziyad dan Abdul Latif sekadar meraih pingat perak manakala Ridzuan pula terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.

Beliau mengakui Kejohanan Dunia merupakan kejohanan terbesar untuk menuai emas, namun menegaskan kegagalan skuad para negara dalam saingan itu bukan petunjuk sebenar untuk mengukur kekuatan mereka menjelang temasya di Tokyo nanti.

"Masih ada sembilan bulan lagi dan saya tahu mereka semua adalah atlet yang luar biasa.

"Selama ini, mereka sentiasa menang dan tidak pernah mengecewakan negara.

"Dalam sembilan bulan ini, saya yakin mereka akan bangkit.

"Saya mengenali setiap mereka secara peribadi.

"Semangat mereka betul-betul luar biasa.

"Mereka berusaha dengan amat gigih," katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan korporat di antara FWD Takaful Berhad dan Majlis Sukan Negara (MSN) di Pusat Kecemerlangan Paralimpik, Kampung Pandan hari ini.

Menjelang Sukan Paralimpik tahun depan, Syed Saddiq yakin kontinjen negara akan mengatasi pencapaian tiga emas dan satu gangsa dalam edisi Brazil 2016.

"Kami menjangkakan pencapaian yang lebih baik.

"Itulah standard yang perlu diletakkan bersama oleh MSN, ISN (Institut Sukan Negara) dan MPM (Majlis Paralimpik Malaysia) untuk menghadirkan lebih banyak pingat emas buat Malaysia.

"Daripada perancangan khusus, memang ada yang akan menyusul tetapi jumlahnya dan perkara lain akan dibincangkan kemudian," tambahnya.

Dalam masa sama, beliau mengarahkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) untuk menyelesaikan kemelut yang membabitkan beberapa persatuan sukan kebangsaan sebelum hujung tahun ini.

Antara persatuan sukan yang sedang berdepan kemelut dalaman ialah Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM) dan MPM.

"Saya mahu pastikan isu ini diselesaikan secepat mungkin kerana ia sudah lama berlaku.

"Sejujurnya, saya agak kecewa kerana ia sudah berlarutan sekian lama.

"Saya tidak mahu masuk campur dan membenarkan mereka (MPM) menyelesaikan isu ini secara dalaman.

"Sehingga kini, ia masih belum selesai dan saya akan pastikan ia akan diselesaikan paling lambat pada bulan Disember," katanya lagi.