Kejohanan Dunia di Bali peluang skuad negara kenali lawan

Oleh Staff Writer 14 November 2016 3
Kejohanan Dunia di Bali peluang skuad negara kenali lawan
Jurulatih silat kebangsaan, Nasri Nasir, melihat peluang pesilat negara untuk meraih kejayaan dalam Sukan Sea 2017 lebih cerah jika mampu memberi saingan sengit dalam Kejohanan Pencak Silat Dunia di Bali, Indonesia, 2 Disember ini.

Tegas Nasri, kejohanan itu akan menjadi penanda aras buat anak buahnya untuk mengenal pasti pesaing mereka dengan lebih baik sebelum bertemu sekali lagi dalam Sukan Sea tahun hadapan.

Tidak mustahil pesilat negara akan menentang lawan yang sama dalam temasya dwi-tahunan itu, khususnya dari Indonesia, Vietnam dan Thailand, yang bakal menjadi saingan sengit kepada Malaysia di Bali nanti.

"Tidak banyak perubahan dalam pasukan ataupun atlet-atlet yang menyertai Sukan Sea pada tahun hadapan. Jadi, bukan sahaja kita sebagai tuan rumah yang membuat persediaan lebih awal tetapi sudah pasti negara lain pun membuat rancangan untuk menghadapi Sukan Sea."

Selain Mohd Al-Jufferi Jamari, atlet silat wanita, Siti Rahmah Mohamed Nasir turut diletakkan harapan tinggi untuk meraih pingat emas buat kali ketiga berturut-turut.

Sedikit tertekan pada awalnya tetapi kem latihan selama 10 hari di Laos tempoh hari berjaya membuatkan Rahmah lebih bersedia untuk mengatasi saingan di Bali.

"Pada mulanya, saya rasa tertekan tetapi saya meletakkannya ke tepi. Saya akan tampil sebagai pejuang sahaja dan menumpukan perhatian untuk membuat yang terbaik," kata Siti Rahmah.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen