Kejohanan dalaman bagi skuad boling padang negara satu kepuasan bagi atlet yang terlibat. Selepas berlatih selama empat minggu, pihak kejurulatihan memutuskan untuk membenarkan mereka menjalani perlawanan sebenar.

Kejohanan dalaman tersebut melibatkan dua pasukan iaitu pasukan untuk Kejohanan Dunia menentang wakil ke Kejohanan Asia. Sebanyak empat kategori yang dilangsungkan iaitu singles lelaki, fours lelaki, ladies paris, dan ladies triples.

Dalam saingan ladies triples, Azlina Arshad menyatakan perasaan gembira selepas pasukannya memenangi perlawanan 25-14 dalam 18 ends ke atas pasukan Asia.

"Pada permulaan permainan, kedua-dua pasukan mempamerkan keseimbangan sebelum kami membuat pertukaran dalam strategi dan ia berhasil buat pasukan Kejohanan Dunia," kata Azlina.

Pasukan Kejohanan Dunia juga tampak gah dalam saingan fours lelaki apabila menewaskan pasukan Asia dengan 14-7 dalam 15 ends dan kapten pasukan, Syamil Syazwan Ramli, berpuas hati dengan prestasi pasukan dan menyifatkan ini satu keputusan yang memberangsangkan.

"Kami telah menampilkan kerjasama dengan berkesan dalam perlawanan ini dan perancangan yang telah ditetapkan berhasil," kata Syamil.