Perebutan enam tiket ke Kejohanan Boling Tenpin Lelaki Dunia membuka tirai hari ini dengan pemenang pingat perak Sukan Asia 2018, Ahmad Muaz Fishol, terdesak untuk menjadi sebahagian daripada skuad yang akan menggalas misi di Hong Kong, bulan depan.

Muaz merupakan salah seorang daripada trio lelaki yang mencipta kebangkitan dalam temasya Jakarta-Palembang 2018 untuk memenangi perak.

Kini, dua lagi gandingannya, Rafiq Ismail dan Timmy Tan, bertukar menjadi pesaing hebat.

Saingan pemilihan terbuka selama 15 hari bagi merebut enam tiket ke Hong Kong menyaksikan pertembungan membabitkan 14 pemain senior dan remaja.

"Saya agak terdesak untuk layak ke Kejohanan Boling Tenpin Lelaki Dunia kerana ini merupakan salah satu kejohanan besar dalam kalendar boling tenpin selepas Sukan Komanwel berikutan sukan ini tiada dalam Sukan Olimpik," katanya.

Hari pertama saingan merebut tempat ke Hong Kong menyaksikan mereka mengharungi enam siri permainan.

Muaz menempatkan diri di kedudukan kelima yang menyaksikan saingan dipimpin pemain muda, Shafiy Zaim.

"Buat masa ini, tiada sebarang masalah, jadi kami akan menyambung aksi esok.

"Cabaran kali ini datang daripada pemain muda dan mereka bagus-bagus belaka," katanya lagi.