Kejohanan Boling Tenpin Lelaki Dunia 2018: Kedudukan Rafiq terjamin 

Oleh Penulis Jemputan 16 Oktober 2018 283
Kejohanan Boling Tenpin Lelaki Dunia 2018: Kedudukan Rafiq terjamin 
Pemenang pingat emas Sukan Asia 2018, Rafiq Ismail, boleh menghela nafas lega apabila kedudukannya dalam Kejohanan Boling Tenpin Lelaki Dunia 2018 di Hong Kong ibarat sudah terjamin.

Bagaimanapu, perebutan bagi lima lagi tiket berterusan, terutama buat pemain berstatus senior.

Ketika ini sedang berlangsung pemilihan merit untuk Kejohanan Dunia membabitkan 13 atlet selama 15 hari yang bermula 8 Oktober lalu.

Rafiq tetap melalui saingan ini sebagai persiapannya menghadapi Terbuka Amerika Syarikat (AS) di Wichita, Kansas, pada 24 Oktober ini.

"Saya berbangga menerima jemputan untuk menyertai Terbuka AS yang merupakan kejohanan profesional utama.

"Selepas muncul di tempat ketiga terbaik dalam Jelajah Dunia Thailand bulan lalu, saya tidak berasakan peluang saya adalah mustahil, saya mampu melakukannya," kata Rafiq. 

Antara pemain senior yang berdepan cabaran sengit untuk layak ke Hong Kong adalah Adrian Ang.

Kini berusia 30 tahun, dia akur semakin kesuntukan masa untuk memenangi gelaran dunia.

"Saya berdepan tugas berat berikutan lorong yang mencabar di sini, namun saya mampu melalui segala proses.

"Saya perlu bersabar dan memberikan tumpuan dalam setiap balingan.

"Ini penting memandangkan saya tidak mempunyai sebarang gelaran dunia lagi. 

"Saya tidak akan berputus asa meskipun kecewa kerana setiap kali bertanding dalam acara berpasukan, kami sudah begitu hampir.

"Apapun, kami masih dahagakan kejayaan itu dan kami akan terus berjuang untuk itu," katanya.

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen