Pemain boling negara, Timmy Tan, muncul juara perseorangan lelaki dalam Kejohanan Boling Asia Ke-25 dengan penuh dramatik apabila menewaskan pencabar dari India dan Jepun di Kelab Sukan Boling, Kuwait, hari ini.

Timmy, yang turun dalam aksi kumpulan kedua, membuka saingan dengan catatan 267 jatuhan pin, namun prestasinya agak menurun dalam permainan ketiga apabila hanya mencatatkan 204 jatuhan pin.

Dia kemudian bangkit dalam permainan keempat dengan balingan konsisten untuk mencatat 255 jatuhan pin.

Ketika dia hanya memerlukan 268 jatuhan pin untuk mengatasi catatan Dhruv Sarda dari India, Timmy mempamerkan aksi menakjubkan dengan catatan sempurna dalam permainan terakhir, sekali gus mengumpul 1,556 jatuhan pin untuk muncul juara sambil mengulangi kejayaan yang dilakukan dalam edisi terdahulu di Hong Kong tiga tahun lalu.

Tempat kedua milik Sarda dengan 1,524 jatuhan pin manakala wakil Jepun, Shusaku Asota, di tempat ketiga dengan 1,522 jatuhan pin.

Ia menjadi emas kedua negara dalam saingan di Kuwait selepas ratu boling negara, Shalin Zulkifli, merangkul emas acara perseorangan wanita semalam.

"Saya mahu ucapkan terima kasih kepada jurulatih dan rakan sepasukan. Mereka sentiasa ada bersama saya. Saya sendiri tidak menyangka mampu meraih catatan mata yang tinggi hari ini.

"Saya hanya hadapinya satu persatu. Segalanya bagus sehingga permainan ketiga yang menyaksikan saya hanya meraih sekitar 200 jatuhan pin. Saya hanya menguatkan semangat untuk bangkit dan terus cuba mengharumkan nama negara," katanya.

"Saya sangat gembira apabila Shalin dan Timmy meraih emas buat kem negara. Saya harap acara pasukan mampu mengejar sasaran emas seperti yang diletakkan," tambah ketua jurulatih negara, Holloway Cheah.

Kredit foto: AtletMalaysia