Skuad boling tenpin negara terus mengharumkan nama Malaysia apabila meraih dua pingat emas dengan mengungguli acara trio lelaki dan wanita dalam Kejohanan Asia di Kuwait hari ini.

Trio wanita negara, yang dibarisi Shalin Zulkifli, Ester Cheah dan Sin Li Jane, mendahului saingan sejak hari pertama dan kekal konsisten untuk menangani saingan dua trio dari Korea Selatan.

Gandingan itu mendahului saingan hari pertama semalam dengan mengumpul 2,140 jatuhan pin sebelum menambah 2,214 lagi pada hari kedua untuk melengkapkan catatan 4,354 jatuhan pin.

Kejayaan trio wanita itu disusuli pencapaian terbaik skuad lelaki yang meraih satu pingat emas dan satu gangsa.

Gandingan Rafiq Ismail, Syafiq Ridhwan Abdul Malek dan Ahmad Muaz Fishol bangkit daripada ketinggalan untuk mengumpul 4,290 jatuhan pin bagi menewaskan trio tuan rumah.

Satu lagi gandingan negara yang terdiri daripada Hafiz Zainuddin, Timmy Tan dan Tun Hakim Tun Hasnul Azam, meraih pingat gangsa dengan 4,246 jatuhan pin.

Setakat ini, skuad negara sudah mengumpulkan empat pingat emas menerusi acara perseorangan dan trio lelaki dan wanita.

"Saya amat gembira di sini," kata ketua jurulatih skuad negara, Holloway Cheah.

"Akhirnya, pasukan lelaki kami melakukannya.

"Kami memenangi emas dan gangsa.

"Pasukan wanita juga terus membuktikan mereka amat bagus.

"Saya tidak sabar untuk menantikan saingan kategori berkumpulan," katanya.