Kontinjen Malaysia sah bergelar juara keseluruhan dalam Kejohanan Boling Tenpin Asia Ke-25 di Kuwait dengan meraih pingat emas keenam menerusi Esther Cheah dalam acara masters wanita, hari ini.

Dalam aksi final, Esther meraih kemenangan tipis selepas mengalahkan pencabar kedua, Jung Dawun dari Korea Selatan, selepas mengumpul 452 jatuhan pin.

Dia hanya mampu menguasai game pertama dengan 208 jatuhan pin, dibezakan tujuh pin berbanding pencabarnya, Dawun.

Dalam game kedua, atlet berusia 33 tahun itu bersaing sengit tatkala lawannya enggan memberi laluan mudah sebelum permainan berakhir dengan kedudukan terikat 244 jatuhan pin.

Namun, ternyata kelebihan tujuh pin dalam game pertama menjadi penyelamat anak jurulatih negara, Holloway Cheah, itu untuk Esther memastikan Malaysia muncul juara keseluruhan dengan kutipan enam emas, satu perak dan empat gangsa.