Kejayaan yang dilakar pada hari pertama Kejohanan Asia di Kuwait menjadi suntikan semangat buat ratu boling negara, Shalin Zulkifli, memburu pingat dalam baki acara yang disertai.

Kini, tumpuan atlet berusia 41 tahun itu terarah kepada acara trio bersama gandingannya, Sin Li Jane dan Easter Cheah, esok diikuti dengan acara berpasukan dan masters.

Bagaimanapun, pada awalnya, Shalin hanya menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas dalam kejohanan tersebut, namun kejayaan yang dilakar pada hari pertama menyuntik semangatnya untuk terus memburu lebih banyak pingat.

"Jika dilihat sejarah kami dalam Kejohanan Asia, Malaysia dan Korea Selatan adalah dua pasukan terbaik. Jadi, kami mahu cuba mengekalkan prestasi dan bergelar juara keseluruhan," katanya.

Shalin -- yang meraih tiga emas dalam Sukan SEA 2017 tetapi tidak disenaraikan untuk temasya tahun ini -- diketepikan daripada Kejohanan Boling Dunia Wanita, Ogos lalu.

"Perancangan kami di sini adalah cuba memenangi acara berpasukan. Saya juga melihat keseluruhan, saya rasa cabaran akan hadir daripada Korea Selatan," tambah ketua jurulatih kebangsaan, Holloway Cheah.