Acara tiga sepasukan akan dipertandingkan buat kali pertama dalam Kejohanan Bola Keranjang B-15 Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) edisi ke-26 di Tenom, Sabah, dari 9 hingga 15 Disember ini.

MABA berhasrat untuk memperkembangkan acara itu dalam kalangan remaja memandangkan ia belum mencapai populariti sepertimana lima sepasukan dalam kejohanan bertaraf antarabangsa.

Sehubungan itu, Timbalan Setiausaha Agung MABA, Sim Sin Heng, menyifatkan acara tiga sepasukan perlu dipertingkatkan lagi bermula daripada peringkat akar umbi.

"Usia 15 tahun dan ke bawah adalah bakat-bakat baru. Kita perlu mencari bakat baru agar kesinambungan itu berterusan dan tidak ketinggalan. Jadi, Kejohanan B-15 tahun ini sangat penting," katanya.

Dalam pada itu, skuad bola keranjang wanita membuktikan kemampuan layak beraksi dalam Piala Dunia 3s 2018 di Filipina.

Ini menandakan pasukan negara makin serius dalam acara itu, khususnya selepas ia akan turut dipertandingkan dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 buat julung kalinya.

"Baru-baru ini, pasukan wanita kita meraih tempat kedua di peringkat Asia dan melayakkan diri untuk bertanding di peringkat dunia.

"Ia bukti pencapaian sudah berjaya dan sudah rasmi kami layak," tambahnya.

Kejohanan Bola Keranjang B-15

KUMPULAN A
• Selangor
• Negeri Sembilan
• Perak
• Johor
• Terengganu
• PDRM

KUMPULAN B
• Pulau Pinang
• Sarawak
• Kuala Lumpur
• Pahang
• Sabah