Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan: Selangor langkah kanan 

Oleh Penulis Jemputan 19 Disember 2017 344
Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan: Selangor langkah kanan 
Juara bertahan, Selangor, melakar kemenangan dalam aksi pembukaan dengan mengatasi Melaka dalam Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan Ke-39 di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini. 

Selangor yang menurunkan hampir kesemua pemain muda dalam skuad edisi kali ini ternyata tidak berdepan masalah untuk mengawal permainan sejak awal. 

Ketangkasan Siti Nor Daniea Anisya Iqma Syamsul Rakesh dan R. Rhuveethra Devi sebagai penjaring berjaya membantu Selangor menjarakkan mata dengan Melaka 17-8 dalam separuh masa pertama. 

Pada babak berikutnya pula, Melaka yang dibimbing Mazlina Mazlan menukar corak permainan dan strategi itu berhasil apabila mereka berjaya mengecilkan jurang. 

Namun, Selangor enggan mengalah dan terus mengekalkan kelebihan sambil terus mengasak untuk menamatkan perlawanan dengan kedudukan 33-26. 

"Saya tidak boleh cakap kami berpuas hati dengan corak permainan sulung ini, kami perlu memperbaiki  kemampuan bagi menghadapi aksi seterusnya. Cuma kesilapan perlu dikurangkan," kata ketua pasukan Selangor, Nurul Intan Shahirah Sharifuddin. 

Kapten Melaka, Siti Nur Syahirah Zahidi, berharap Melaka dapat memadam kekecewaan awal itu untuk terus memberikan cabaran dalam aksi seterusnya. 

"Kami mengadakan perbincangan untuk strategi pada separuh masa lalu perlawanan berlangsung sengit," katanya.

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen