Perenang negara, Welson Sim, berharap penyertaan dalam Kejohanan Asia menjadi pembuka rentak untuk persiapan menghadapi Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

Penyertaan sulung Welson dalam Kejohanan Asia akan memperlihatkan dirinya beraksi dalam tiga acara 200, 400 dan 50 meter gaya bebas.

Namun, dia masih mencari rentak selepas berehat daripada menyertai aksi Sukan Olimpik Rio baru-baru ini.

Jelas Welson, sasaran utama dirinya adalah untuk melihat kemampuan bersaing dengan perenang terbaik Asia sambil cuba mengekalkan catatan yang konsisten.

“Selepas pulang dari Rio, kini saya kembali menjalani latihan seperti biasa di kolam renang untuk Kejuaraan Asia.

"Ia merupakan satu langkah besar dalam karier saya selepas Sukan olimpik Rio. Ini juga permulaan untuk saya tahun depan, saya berharap dapat melakukan yang terbaik.

“Saya tidak memikirkan catatan peribadi terbaik tetapi masih berharap jika berpeluang meraih pingat, saya tidak akan melepaskan peluang saya.

"Seperti Shun Wang, Park Tae Hwan dan Hagino yang merupakan tiga perenang terbaik dunia, ia adalah peluang terbaik untuk bersaing dengan mereka yang juga persiapan untuk Sukan Asia dalam dua tahun lagi dan Tokyo pada 2020.”

Seramai lapan perenang akan ke Kejohanan Asia, antaranya Wong Fu Kang, Welson Sim dan Tern Jian Han.