Impian melepasi jarak lompatan 17.14 meter bagi layak ke Olimpik Tokyo masih belum terkubur buat atlet lompat kijang negara, Hakimi Ismail, walaupun hasrat mendapatkan sentuhan Teddy Tamgho di Amerika Syarikat terbantut.

Atlet berusia 29 tahun itu sanggup mengeluarkan modal ribuan Ringgit bagi mendapatkan khidmat jurulatih berasal perancis, Tamgho, atas pencapaian pemegang rekod dunia sukan dalam dewan lompat kijang.

Tahun lalu, perubahan berlaku daripada segi kelayakan bagi sukan itu ke temasya berprestij, Olimpik, menyaksikan Hakimi perlu sekurang-kurangnya mencecah lompatan sejauh 17.14m atau layak menerusi ranking dunia di kedudukan ke-32.

Buat masa ini, atlet berasal dari Perak itu mengharapkan kejohanan seperti Kejohanan Asia dan Kejohanan Dunia Dalam Dewan bagi memecahkan rekod menjadi atlet olahraga pertama yang layak ke Olimpik Tokyo.

"Sekarang saya berlatih dengan seorang jurulatih dari Perancis, jadi perancangan sebelum ini terpaksa dibatalkan," katanya.

"Saya cuba untuk kekalkan kecergasan dan kekuatan, masih lakukan apa yang perlu. Difahamkan apabila hampir dengan kejohanan, saya dapat kembali ke prestasi terbaik lebih pantas."