Impian menjejak kejayaan Cheong Jun Hoong untuk muncul juara dunia tidak kesampaian buat Nur Dhabitah Sabri apabila dia sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-10 dalam final 3 meter papan anjal individu Kejohanan Akuatik Dunia FINA 2017, hari ini.

Terjunan hambar seawal percubaan pertama menyebabkan impian Dhabitah untuk setidak-tidaknya meraih kedudukan podium tidak kesampaian.

Berada di kedudukan terakhir selepas dua terjunan, Dhabitah mempamerkan peningkatan dalam terjunan ketiga dan keempat untuk berada dalam kelompok enam terbaik.

Bagaimanapun, dia gagal mengatasi prestasi cemerlang pencabar-pencabar lain untuk akur menamatkan cabaran di kedudukan ke-10 daripada keseluruhan 12 penerjun dengan pungutan 292.35 mata.

Pingat emas dan perak menjadi milik penerjun China, Shi Tingmao dan Wang Han, yang mempamerkan aksi konsisten sejak terjunan pertama.