Atlet menembak negara, Muhammad Ezuan Nasir Khan, hanya menjalani persiapan di dalam negara sempena menghadapi Kejohanan Air Gun Asia di Jepun, bulan depan.

Ezuan sepatutnya menjalani latihan di Korea Selatan bulan ini, namun kekangan peruntukan memaksanya untuk hanya menjalani latihan di Lapang Sasar Menembak Subang.

Begitupun, Ezuan tidak berasa ia sebagai penghalang buatnya selagi dia masih mengikuti program yang dikendalikan jurulatihnya, Park Sang Soon dan Kong Hyun Ah.

“Saya tidak mempunyai masalah mengenainya.

"Saya akan menuruti program yang akan diaturkan jurulatih. Kalau corak latihan itu bagus, di mana-mana pun tidak akan menjejaskan prestasi saya,” katanya.

Di Jepun, dia akan bersaing dalam acara 10 meter air rifle, namun tidak meletakkan sebarang sasaran buat dirinya.

Pemenang pingat emas acara 50m rifle prone dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu sebaliknya cuma menyasarkan catatan terbaik.

"Untuk Kejohanan Air Gun Asia kali ini, saya tidak menetapkan apa-apa sasaran ekoran terlepas dua edisi sebelum ini. Saya akan cuba buat yang terbaik untuk memungut mata tertinggi.

"Insya-Allah, kalau ada rezeki saya akan ke final," katanya.