Kejayaan Azizulhasni cetus harapan emas di Tokyo

Oleh Staff Writer 28 Februari 2020 884
Kejayaan Azizulhasni cetus harapan emas di Tokyo
Kejayaan Azizulhasni Awang memenangi pingat gangsa dalam final acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Jerman menjadi bayangan emas pertama Olimpik negara bakal diraih di bumi Jepun.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) kini lebih yakin dengan laungan The Pocket Rocketman untuk menyasarkan emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila berjaya meraih gangsa dalam Kejohanan Dunia.

Sebelum ini, badan induk itu hanya menetapkan sasaran perak buat Azizulhasni dalam temasya Sukan Olimpik dengan harapan untuk tidak memberinya tekanan.

Bagaimanapun, atlet dari Terengganu itu membuktikan kewibawaanya dengan meraih gangsa di Jerman walaupun ia merupakan kejohanan pertamanya selepas mengalami kecederaan sejak Disember lalu.

"Persiapan yang sedang dijalankan serta pingat yang diraih di Berlin memberikan satu petanda yang tepat bahawa Azizulhasni hampir bersedia untuk menghasilkan emas pertama Malaysia," katanya Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh.

Selain itu, Majlis Sukan Negara (MSN) cukup gembira dengan pencapaian Azizulhasni di Jerman dan bakal mengerahkan segala kudrat demi menukar gangsa itu kepada emas dalam Tokyo 2020.

"Berdasarkan perancangan yang telah dibuat serta sokongan daripada semua pihak, saya rasa tidak mustahil untuk Azizulhasni menempah nama di Tokyo nanti," ujar Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin.

Setakat ini, penggunaan dana RM8 juta buat program Road To Tokyo yang dikhaskan kepada pelumba berbasikal trek negara itu berada di landasan tepat dan berjaya membuahkan hasil awal.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen