Pemain boling tenpin negara, Adrian Ang, menganggap kegagalannya dalam Piala Dunia di Palembang, Indonesia yang berakhir semalam, membuktikan masih banyak yang perlu diperbaikinya walaupun ia merupakan penampilan keempatnya dalam kejohanan itu.

Wakil tunggal negara dalam kategori lelaki itu pulang awal selepas gagal menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik pusingan kelayakan apabila menamatkannya di tempat ke-14.

"Saya agak menyesal kerana gagal beraksi baik sepanjang tiga hari pertama.

"Jika tidak, saya mungkin boleh mengidupkan perjuangan di sana.

"Secara keseluruhan, saya bangkit pada dua hari terakhir dan itulah yang paling penting kerana saya tidak berputus asa," katanya ketika ditemui setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) hari ini.

Susulan kegagalan itu, Adrian akan mengalihkan tumpuannya untuk memperbaiki teknik asas.

"Apa yang paling saya perlukan selepas ini adalah ketenangan.

"Saya perlu memulakannya daripada A hingga Z.

"Apabila anda terjatuh, anda perlu bermula dengan merangkak.

"Jadi, saya akan bermula daripada itu," tambahnya.