Setiausaha Agung Persatuan Karate Sabah (SKA), Julian Chin, mengakui kecergasan kebanyakan atlet karate mereka, yang kembali berlatih di lapangan sejak Isnin lalu, tidak berada ditahap seperti sebelumnya.

"Walaupun suasana latihan berbeza kerana sekarang kena patuh SOP (prosedur operasi standard), dibenarkan kembali berlatih di lapangan adalah perkara yang baik.

"Kecergasan kebanyakan atlet Sukan Malaysia (Sukma) kami tidak ditahap seperti yang diharapkan tetapi saya percaya dengan kembali menjalani latihan di lapangan, tahap kecergasan mereka akan lebih baik dalam tempoh dua minggu ini," katanya.

Menurutnya, latihan banyak tertumpu kepada membina kecergasan sepanjang dua minggu pertama, di mana mereka berlatih di Pantai Tanjung Lipat, Kota Kinabalu sejak Isnin lalu.

Julian berkata, SKA telah menyenaraikan sekitar 30 atlet dalam senarai panjang ke Sukma.

"Bagaimanapun, masih ada yang belum melapor diri, termasuk atlet yang berpusat di Sekolah Sukan Bukit Jalil.

"Kami akan susun semula jadual latihan dan atlet dalam senarai panjang itu akan mengharungi beberapa proses latihan sebelum disenarai pendek," katanya.