Pemanah negara, Haziq Kamaruddin, bakal terlepas kejohanan sulung pasca COVID-19, iaitu Kejohanan Terbuka Sultan Zainal Abidin di Kuala Terengganu, bulan depan.

Olimpian itu mengalami kecederaan tendon siku yang memaksanya berehat sekurang-kurangnya tiga bulan.

"Saya jatuh terkena tangga di rumah, hentakan kuat itu menyebabkan otot saya terkoyak secara bertompok, sekarang siku saya semakin boleh diluruskan.

"Sejak menyertai pasukan kebangsaan pada 2015, ini kali pertama saya berehat lama.

"Sebelum ini kalau setakat sakit sikit-sikit, saya tetap terus berlatih tetapi kali ini tangan kiri saya langsung hilang kekuatan," katanya kepada wakil Nadi Arena, Bazly Azmi, di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil, hari ini.

Barisan pemanah kendalian Lee Jae-hyung itu dijadual beraksi di Terengganu diikuti sirkit kebangsaan pada Disember depan dengan status penyertaan Olimpian berkenaan masih menjadi tanda tanya.

"Sasaran saya ialah untuk mencapai semula tahap kecergasan, latihan dan catatan terbaik tetapi apabila sudah jadi macam ini, saya kena berehat untuk tindakan yang lain.

"Pada masa sama, saya risau dengan prestasi sendiri.

"Kejohanan di Terengganu sudah terlalu dekat tetapi untuk kejohanan Disember ini, saya harap dapat berlatih semula dengan segera.

"Kejohanan pertama ini memberi ruang kepada pemanah untuk menilai sejauh tahap kecergasan, fizikal, latihan dan kemahiran sebab benda ini sudah terputus sejak Mac lalu, iaitu kali terakhir kami beraksi dengan menyertai Kejohanan Berpasukan di Bangkok, Thailand.

"Daripada situ kami boleh kenal pasti bahagian mana yang perlu diperbaiki."