Kecederaan Fauzi, Razak buat Nasri kurang senang

Oleh Penulis Jemputan 10 Oktober 2018 65
Kecederaan Fauzi, Razak buat Nasri kurang senang
Kecederaan dua bekas juara dunia, Mohd Fauzi Khalid dan Razak Ghazali, ternyata menggusarkan ketua jurulatih silat negara, Nasri Nasir, dalam persiapan menghadapi Kejohanan Pencak Silat Dunia di Singapura, Disember depan.

Fauzi -- juara dunia 2015 -- perlu memastikan kecederaan lutut kanan pulih dengan segera sekiranya enggan terlepas buat kali kedua beraksi dalam Kejohanan Dunia.

Razak, yang meraih gelaran juara dunia di Bali, dua tahun lalu, baru sahaja pulih daripada kecederaan bahagian kepala, namun masih belum cergas sepenuhnya.

Situasi sedemikian memaksa Nasri untuk bersedia dengan perancangan kedua andai mereka tidak dipilih ke Singapura dengan harapan hanya kepada juara tiga kali, Mohd Al-Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Md Nasir.

"Razak yang baru pulih perlu menyesuaikan diri dengan latihan, jadi kami perlu bersedia dengan situasi tersebut dan mempersiapkan langkah-langkah untuk mengatasi perkara itu," katanya.

Nasri lega apabila Kejohanan Dunia kali ini diadakan di Singapura apabila emosi Rahmah dan Jufferi masih terkesan dengan insiden dalam Sukan Asia Indonesia, Ogos lalu.

"Bahang itu masih terasa. Tahap kekecewaan atlet juga masih terasa. Sebagai seorang atlet profesional, mereka perlu tahu itu adalah kehidupan seorang atlet. Untuk menjadi juara, mereka perlu menerima keadaan tersebut," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen